Minggu, 24 Juni 2012

PENGELOLAAN BAWANG

Ciri botani

Potongan tegak bawang merah.
Herba kecil setinggi 30-45 cm. Akar serabut. Daun tunggal, susunan berpilin, panjang dengan hujung meruncing, tengah daun berlubang, berwarna hijau muda, permukaan berkulat, mempunyai aroma yang kuat. Bunga majmuk, putih, terdapat dalam jambak bunga di atas tangkai bunga yang panjang, tumbuh di hujung daun. Buah atau biji-biji kecil. Bebawang adalah daun (daun terubah suai) berisi yang berlapis-lapis, diameter kurang dari 3 cm.

Penanaman

Bawang merah boleh ditanam pada tempat beriklim panas seperti iklim tropika dan subtropika. Tanah yang sesuai untuk bawang merah adalah tanah yang tak menakung air. Bawang boleh ditanam melalui biji benih dan juga bebawang. Bawang merah memerlukan siraman air hanya dua kali sehari, iaitu di waktu pagi sekali dan petang kemudiannya. Penggunaan kompos untuk awal penanaman adalah amat digalakkan. Pembajaan boleh dilakukan dengan menggunakan baja NPK Hijau (15:15:15).
Terdapat 3 jenis bawang yang sesuai ditanam di Malaysia iaitu varieti dari Siam, Indonesia dan India. Bawang jenis dari China kurang sesuai ditanam di Malaysia kerana iklim yabg berbeza dan harganya pun mahal. Tanah yang sesuai untuk bawang merah mestilah mempunyai saliran yang baik dengan pH 6.0 - 7.0 dan tidak boleh di tenggelami air. Penanaman bawang mesti dibuat di atas batas berukuran 4-10 inci (12-30 cm) tinggi dan lebar 36-48 inci (1.1-1.4 m) lebar serta panjang ikut kesesuaian. Dibubuh baja asas organik dan sebaiknya sungkupan jerami padi kering digunakan. Tanpa sungkupan, benih yang baru ditanam akan rosak akibat hujan dan hakisan terutama tanah bris di Mersing.
Benih bebawang segar di pasaran digunakan (jenis India dan Indonesia) dengan sebakul buluh (lingkungan 8-10 kg). Asingkan umbisi bawang dari rumpun dan potong bahagian atas sedikit untuk mempercepatkaan pertumbuhan semasa penanaman. Kalau tidak dipotong bahagian atas lewat pertumbuhan antara 3-5 hari. Keperluan benih antara 1,200 -1,500 kg/ ha. Biji bawang di celup dalam racun cendawan dan racun kulat sebelum ditanam dengan jarak 13 cm x 13 cm (5 inci x 5 inci) dengan 2/3 dalam tanah. Penyiraman dijalankan sekali sehari dan jangan biarkan terlalu basah atau terendam sebab bawang akan reput.

Penuaian

Penuaian boleh dilakukan apabila semua daun bawang merah telah rebah iaitu sekitar 6 hingga 8 minggu selepas penanaman. Tuaian hendaklah dilakukan ketika cuaca kering agar bawang boleh disimpan lama. Penuaian perlu dielakkan selepas hujan kerana bawang akan mudah diserang fungus jika basah ketika dituai. Cara menuai bawang adalah dengan mencabut ia dari atas tanah dan kemudian dijemur sehingga semua daun atas kering.
Pokok bawang matang dan boleh dituai selepas 75 - 90 hari ditanam iaitu apabila daun bawang telah mulai kering dan rebah. Rumpun bawang yang dituai diikat dan dikeringkan dibawah sistem pengudaraan yang baik. Bawang ini tahan disimpan dan boleh digunakan semula untuk dijadikan benih tanaman dan sebahagian boleh dijual. Kajian di Malaysia mendapati sebiji bawang akan membiak sebanyak antara 15 - 25 biji bebawang serumpun walaupun kajian mendapati di India mencapai 40 -60 biji/rumpun.

Penyakit

Perosak

Serangan ulat ratus (Spodoptera litura) ada tetapi kurang serius. Penyakit utama bawang ialah hawar daun atau tompok dan kawalan dengan Mancozeb boleh dijalankan. Penyakit lain ialah reput bawang akibat terendam atau serangan kulat. Serangan penyakit tompok ungu (Altenaria porri) boleh dikawal dengan racun kulat. Penyakit pucuk putih (White tips) boleh menyebabkan daun jadi kering dan hasil sangat kurang.

Khasiat

Bawang merah mengandungi vitamin C, potassium, serat dan asid folik. Ia juga mengandungi kalsium, zat besi dan protein yang tinggi.[perlu rujukan]
Beberapa penyelidikan telah dijalankan tentang khasiat bawang merah terhadap kesihatan manusia. Dari hasil penyelidikan tersebut, mereka mendapati bahawa bawang merah mengandungi 2 sebatian utama. Sebatian pertama ialah sulfur seperti allyl propyl disulphida (APDS) dan sebatian kedua pula ialah flavonoids seperti quercetin. Flavonoid dipercayai mengurangkan risiko kanser, penyakit jantung dan kencing manis kerana ia mempunyai unsur-unsur anti-kanser, anti-bakteria, anti-viral, anti-allergenic dan anti-inflammatory. Dari penyelidikan terkini, bawang merah di dapati effektif terhadap sel kanser hati. Bawang merah didapati mengandungi 6 kali ganda kandungan phenolic berbanding bawang biasa (bawang besar). Bawang merah boleh menolong hati membuang toksin dari badan dan ia mempunyai saponins untuk menghindar dan membunuh sel kanser.
Bawang merah juga didapati boleh menghindarkan kanser perut. Ia mengeluarkan anti-coagulant yang boleh mencairkan darah dan seterusnya meningkatkan tahap tinggi aktiviti anti-platelet yang baik untuk pesakit symptomatic antherosclerotic, kardiovaskular, serangan jantung dan strok. Ia juga membantu meningkatkan fungsi otak seterusnya mengurangkan risiko penyakit Alzheimer's. Bawang merah juga boleh mengurangkan tahap gula bagi mereka yang menpunyai kencing manis dengan menghadkan keberkesanan insulin dan meninggikan metabolisma glukosa.
Memakan bawang merah setiap hari boleh membantu penumbuhan tisu tulang dan mengurangkan risiko osteoporosis sehingga 20%. Ia mengandungi Prostaglandin A-1, agen yang kuat untuk mengurangkan tekanan darah (blood pressure). Kandungan sulfurnya juga boleh membantu kulit kelihatan muda. [perlu rujukan]

Masakan

Bawang merah adalah salah satu sayuran yang penting dalam bahan masakan Melayu, baik untuk masakan rumah tangga, dan juga sebagai bahan dalam industri makanan. Pengeluaran bawang merah pada masa ini di Malaysia masih tidak mampu memenuhi permintaan yang ada terutama di saat menjelang hari-hari perayaan seperti hari raya. Oleh itu usaha untuk meningkatkan lagi penanaman bawang merah perlu dipertingkatkan lagi di Malaysia. Kebanyakkan stok bawang merah yang berada di pasaran Malaysia dimport dari negara India, bagi memenuhi permintaan tempatan di negara tersebut.[1][2]. Di Malaysia, masalah kekurangan stok bawang merah sering berlaku saban tahun khususnya di Sarawak,[3] ini kerana sektor pertanian bawang merah dijalankan secara kecil-kecilan di negara tersebut, tidak mampu menampung lambakan permintaan yang melebihi bekalan. Pengeluar utama bawang merah iaitu India pula sering mengalami masalah banjir yang menenggelamkan kebanyakkan ladang penanaman bawang merahnya, ini sekali gus mengakibatkan pengeluaran bawang merah di negara itu turut terjejas. Selain itu, harga siling bahan mentah makanan tersebut juga turut tidak menentu. Ini mendesak kerajaan Malaysia, untuk memikirkan langkah alternatif untuk menangani masalah ini antaranya mengesyorkan pengguna membeli bawang merah yang diimport dari Belanda atau China.[4] Daun bawang merah boleh digunakan sebagai tambahan rencah dalam masakan sup, sayur-sayuran, salad atau pun sebagai penghias lauk-lauk lain.
Bawang merah.

Masalah-masalah di Malaysia

Pada tahun 1998 berlaku krisis bekalan bawang merah dunia menyebabkan harga bawang merah yang biasanya dijual runcit pada purata harga RM 1.20/ kg telah meningkat sehingga RM 5.40/ kg. Krisis ini disebabkan oleh beberapa negara pengekspot utama bawang ke Malaysia seperti India, China, Thailand, Indonesia dan sebagainya mengalami bencana kemarau akibat El nino. Harga yang mahal boleh ditanggung kerajaan Malaysia jika ada bekalan tetapi isunya ialah ia amat sukar untuk mendapatkan bekalan bawang merah ketika itu. Kementerian Pertanian melalui jabatan pertanian melancarkan beberapa program pemerhatian untuk menanam bawang merah.
Walaupun begitu hasil dari itu mendapati beberapa masalah iaitu:-
  • Penamanan bawang kurang ekonomik. Kos benih (bawang segar) yang mahal dan belum ada bahan tanaman murah yang sesuai (biji benih masih belum ada.
  • Kejadian serangan penyakit pucuk putih mudah berlaku pada setiap umur penanaman dan sukar dikawal.
  • Kos buruh agak tinggi untuk kerja-kerja kawalan rumpai sebab racun rumpai tidak boleh digunakan kerana bawang amat sensitif terhadap racun rumpai.
  • Harga jualan ladang juga tidak menguntungkan.
Penanaman bawang merah di Malaysia perlukan kajian lebih lanjut dan memerlukan teknologi baru. Teknologi di Indonesia dan Thailand boleh diguna pakai jika betul penanaman bawang hendak ditanam secara komersil di Malaysia.

Rujukan

  1. Bawang Merah - Berpotensi di tanam di tanah rendah
  2. Utusan Malaysia Online, Bekalan bawang merah pulih Mac ini
  3. mStar Online, Sabtu Januari 07, 2006 Bekalan, harga bawang merah dijangka kembali stabil
  4. Bernama-Bawang Merah Import Dari India RM12 Sekilo Di Sarawak

Lihat juga

Bacaan lanjutan

Pautan luar

Tidak ada komentar:

Posting Komentar